Angan dan harapan

Angan dan harapan

Jumat, 29 November 2013

KISAH NABI MUHAMMAD SAW

Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bapa baginda, Abdullah bin Abdul Mutallib telah wafat sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibunya, Aminah binti Wahab.

Ibu susuan baginda ialah wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib. Ibu baginda meninggal di Abwa ketika baginda berumur 6 tahun. Nabi Muhammad S.A.W dipelihara oleh datuknya, Abdul Mutallib yang meninggal dunia sewaktu baginda berumur 8 tahun.

Kemudian baginda diasuh oleh bada saudaranya, Abu Talib. Mereka berkunjung ke negeri Syam untuk berdagang sewaktu Nabi Muhammad S.A.W berusia 12 tahun dan bertemu dengan seorang rahib Kristian yang dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda.

Nabi Muhammad S.A.W diberikan gelaran al-Amiin di atas sifat-sifat baginda yang terpuji. Ketika baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang-barang dagangan Khadijah binti Khuwailid.

Baginda berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid yang berumur 40 tahun sewaktu baginda berumur 25 tahun. Mereka dikurniakan 7 orang putera dan puteri. Anakanda-anakanda Rasulullah S.A.W ialah Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Siti Fatimah, Qasim, Abdullah dan Ibrahim. Kesemua anakanda lelaki diwafatkan Allah SWT semasa kecil mereka.

Pada usia 40 tahun, Nabi Muhammad S.A.W telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam di gua Hira'. Khadijah, isteri baginda adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.

Baginda berdakwah selama 3 tahun secara sembunyi sebelum turun wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan.

Penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah

Khadijah serta Abu Talib wafat pada tahun ke-10 kenabiannya. Setelah sampai perintah Allah, Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda. Rasulullah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah. Sebuah negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas S.A.W sendiri.

Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632M bersamaan dengan 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan.

Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.

0 komentar:

Dí lo que piensas...